KERINGAT DAN AIR MATA SEORANG PEMIMPIN


Pada suatu hari, seorang lelaki mengunjungi Amir Al Mahsud, Pemerintah Pakistan Utara ketika itu dan berkata :

"Sebagai pemerintah, tuan beruntung kerana kehidupan, makan, minum dan tidur sudah tersedia dan disediakan."


Amir Al Mahsud yang mendengarnya terdiam.


Suatu hari, Amir Al Mahsud menjemput lelaki itu ke istana dan menghidangkan makanan yang lazat untuknya. Sebuah kerusi disediakan untuk tetamu tadi namun di atas kepalanya tergantung sebuah pedang yang tajam dengan tali yang mengikatnya kelihatan hampir putus. Ketika ingin menyentuh makanan, lelaki itu merasa gusar kerana bimbang pedang akan jatuh ke atasnya. Melihat tetamu yang dilihat resah, Amir Al Mahsud bertanya :

"Kenapa saudara kelihatan gelisah?"


Lelaki itu berkata, beliau bimbang pedang akan jatuh ke atasnya dan tentunya tidak dapat menikmati makanan yang lazat itu.
Amir Al Mahsud tersenyum sambil berkata :

"Demikianlah hidupku yang terpaksa menghadapi ramai pihak yang iri hati. Sebagaimana saudara terancam oleh pedang, aku juga diancam setiap detik oleh musuhku atau saudaraku sendiri yang ingin merebut kuasa, membunuhku, meracun aku atau melancarkan pemberontakan."
"Sebagai pemerintah, aku menjalani kehidupan seharian dalam keadaan ketakutan dengan semua ancaman itu tetapi saudara boleh ke mana-mana tanpa rasa takut," ujar beliau.


Kini lelaki itu sedar, beban yang ditanggung seseorang pemerintah Islam dalam erti kata sebenar adalah berat. Mereka terdedah kepada musuh dan pada masa yang sama terpaksa membela nasib rakyat.

Daripada Auf bin Malik R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :


"Imam-imam kamu yang terbaik ialah yang kamu mengasihi mereka dan mereka mengasihi kamu. Mereka berdoa untuk kamu dan kamu berdoa untuk mereka. Dan imam-imam kamu yang paling jahat ialah imam-imam yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu. Rasulullah SAW ditanya : "Ya Rasulullah! Bolehkah kami memecat dan memerangi mereka dengan pedang? Rasulullah SAW bersabda : "Tidak, selama mereka mendirikan solat di antara kamu. Dan apabila kamu melihat sesuatu yang kamu tidak menyukainya dari penguasa-penguasa kamu, maka hendaklah kamu membenci amalannya dan janganlah kamu menderhaka."


(Hadis Riwayat Imam Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

0 comments:

Catat Ulasan