Sekitar Prinsip Dua Puluh: Rukun Pertama - Rukun Faham


Prinsip Pertama:
Islam adalah sistem hidup yang syumul, mencakupi seluruh fenomena kehidupan. Maka ia adalah negara dan tanah air atau kerajaan dan ummat; akhlaq dan kekuatan atau rahmat dan keadilan; kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman; material dan kebendaan atau usaha dan kekayaan; jihad dan da'wah atau tentera dan fikrah. Sepertimana ia adalah 'aqidah yang sebenar dan 'ibadah yang sahih tanpa ada bezanya.

 
Prinsip Kedua:
Al Qur'an Al Karim dan Al-Sunnah yang suci adalah sumber rujukan bagi semua muslim untuk mengetahui hukum-hakam di dalam Islam. Al-Qur'an difahami selari dengan kaedah Bahasa 'Arab tanpa memberat-beratkan dan membuta tuli dan memahami hadith yang suci bersumberkan periwayat-periwayat yang thiqah.

 
Prinsip Ketiga:
Pada iman yang benar dan 'ibadat yang sahih serta mujahadah terdapat "Nur" dan kemanisan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati di kalangan hambaNya, menurut siapa yang Dia kehendaki. Namun, ilham, lintasan hati, kasyaf (pandang tembus) dan mimpi bukanlah dalil-dalil (hujah) bagi hukum syara'. Ia tidak diambil-kira melainkan dengan syarat ia tidak bertembung dengan hukum-hakam agama dengan nas-nasnya.

 
Prinsip Keempat:
Tangkal, azimat, al-wad', al-makrifah, tukang tilik, dan dakwaan mengetahui perkara ghaib semuanya adalah perkara mungkar yang wajib diperangi kecuali mengandungi ayat Al-Qur'an atau mentera (jampi) yang ma'thur.

 
Prinsip Kelima:
Siyasah Syar'iyyah. Pandangan Imam (pemerintah) atau Naibnya (timbalannya) pada perkara yang tidak mengandungi nas, atau pada perkara yang boleh diandaikan beberapa wajah pendapat atau mengandungi "masalih mursalah" boleh dipraktikkan selagi tidak bertembung dengan kaedah syara'. Adakalanya ia berubah bergantung kepada keadaan, 'uruf dan adat. Prinsip asal 'ibadat ialah ta'abbud tanpa menghiraukan makna-makna, dan prinsip asal adat ialah melihat kepada rahsia-rahsia, hikmah dan tujuannya.

 
Prinsip Keenam:
Pandangan (kata-kata) setiap orang boleh diterima dan ditolak kecuali Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam yang maksum. Setiap apa yang datang daripada para salafussalih, yang selari dengan kitab dan sunnah akan diterima. Jika tidak maka Kitab dan Sunnah adalah lebih utama untuk diikuti. Kita tidak menyarankan sebarang kecaman kepada peribadi tertentu pada masalah yang diperselisihkan. Terserah kepada niat mereka, apa yang mereka lakukan telah pun berlalu.

 
Prinsip Ketujuh:
Setiap muslim yang tidak mencapai tahap mampu (meneliti) dalil-dalil bagi hukum-hakam cabang (dalam agama) hendaklah mengikuti imam (para mujtahid) dan 'alim 'ulama'. Ada baiknya juga, di samping mengikuti 'alim 'ulama' dia berijtihad sekadar termampu untuk mengetahui dalil-dalil (hukum-hakam agama). Ia juga hendaklah menerima tunjuk ajar yang berserta dengan dalil, sekiranya pasti kebaikan mereka dan keilmuannya. Sekiranya ia dari kalangan ilmuan maka hendaklah ia menampung segala kekurangan ilmiyyah sehingga ia mampu untuk sampai martabat mampu meneliti (hukum-hakam).

 
Prinsip Kelapan:
Perselisihan fiqh pada perkara cabang tidak seharusnya menjadi punca perpecahan dalam agama dan mengheret kepada permusuhan dan saling benci-membenci. Setiap mujtahid mendapat ganjarannya. Tiada salahnya membuat penjelasan ilmiyyah pada masalah perselisihan di bawah naungan rasa mahabbah kerana Allah dan saling bertolong-bantu untuk mencapai hakikat (kebenaran) tanpa mengheret kepada perdebatan yang tercela dan rasa ta'assub.

 
Prinsip Kesembilan:
Setiap permasalahan yang tidak mendorong kepada 'amal merupakan perkara memberat-beratkan yang ditegah oleh syarak. Antaranya : Memperbanyakan cabang-cabang hukum-hakam yang masih belum berlaku dan melibatkan diri kepada makna-makna ayat Al-Qur'an yang masih belum tercapai oleh ilmu dan membicarakan kelebihan antara para sahabat dan perselisihan antara mereka. Setiap mereka mempunyai kelebihan mendampingi Rasul dan menerima ganjaran menurut niat mereka, (lebih-lebih lagi) terdapatnya banyak alternatif dalam mentakwil (isu ini).

 
Prinsip Kesepuluh:
Mengenal Allah dan mentauhidkan dan menyucikanNya adalah kemuncak 'aqidah Islam. Kita mengimani ayat-ayat sifat dan hadith-hadith yang sahih serta apa-apa tasyabuh (penyerupaan) yang layak bagi Allah sepertimana datangnya, tanpa mentakwil dan ta'til (menafikan). Kita tidak mendedahkan diri kepada sesuatu yang terdapat padanya perselisihan antara 'ulama'. Sudah cukup untuk kita dengan apa yang telah dicukupkan oleh Rasul. Allah berfirman yang bermaksud : "Dan orang-orang yang mendalami ilmunya berkata kami beriman dengan semua (ayat-ayat yang mutasyabihat) dari Tuhan kami." (Surah Ali-'Imran: Ayat 7)

 

Prinsip Kesebelas:
Setiap bid'ah yang ada dalam agama Allah yang tiada asal Prinsip, manusia menganggapnya baik menurut hawa nafsu mereka, sama ada menambah atau mengurang, merupakan satu kesesatan yang wajib diperangi. Kita mesti menghapuskannya dengan cara terbaik yang tidak membawa kepada malapetaka yang lebih buruk.

 

Prinsip Kedua Belas:
Bid'ah idhafiyyah, tarkiyyah dan beriltizam dengan 'ibadat yang mutlak merupakan peselisihan fiqh. Semuanya terdapat pandangan 'ulama' dan tidak mengapa kita mencari hakikat dengan dalil dan bukti.

 

Prinsip Ketiga Belas:
Mengasihi, menghormati dan memuji orang salih lantaran 'amalan baik mereka adalah merupakan qurbah (menghampirkan) diri kepada Allah. Para auliya' ialah mereka yang dinyatakan dalam firman Allah: "Merekan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah."
Karamah yang berlaku ke atas mereka adalah thabit dengan syarat-syarat yang syar'i. Di samping itu kita beri'tiqad mereka tiada kuasa memberi manfa'at dan mudharat kepada diri mereka sendiri sama ada semasa hidup atau selepas mereka mati. Lebih-lebih lagi untuk menghulurkan itu semua kepada orang lain.

 

Prinsip Keempat Belas:
Menziarahi kubur walau bagaimana keadaan sekalipun adalah sunnah yang disyar'iatkan dengan cara yang ma'thur. Tetapi meminta pertolongan kepada ahli kubur - walau siapa pun mereka - menyeru mereka kerana perkara tersebut, meminta hajat dari mereka sama ada dari jauh mahupun dekat, bernazar kepada mereka, mendirikan binaan di atas kubur mereka, menutupinya, meneranginya dengan lampu, mengusapnya, bersumpah dengan selain Allah dan apa jua yang disertai dengan bid'ah merupakan dosa besar yang wajib diperangi. Kita tidak mentakwil terhadap 'amalan-'amalan tersebut demi menutup pintu fitnah (kemungkaran) yang lebih parah.

 

Prinsip Kelima Belas:
Berdo'a kepada Allah di samping bertawassul dengan salah satu makhlukNya adalah perselisihan pada cabang (furu') dalam cara berdo'a yang tidak termasuk dalam masalah 'aqidah.

 

Prinsip Keenam Belas:
'Uruf yang pincang tidak akan mengubah hakikat lafaz-lafaz syara'. Bahkan wajib mengenal-pasti batas-batas makna yang dikehendaki dengannya dan berhenti pada sempadannya. Sepertimana wajib berwaspada dari tipu-daya lafaz pada setiap perkara agama dan dunia. Kita mengambil kita "benda" yang dinamakan (musammayat) bukannya nama itu sendiri.

 

Prinsip Ketujuh Belas:
'Aqidah adalah asas 'amalan. 'Amalan hati lebih utama berbanding amalan anggota. Mendapatkan kesempurnaan dengan keduanya adalah dituntut pada syara' sekalipun terdapat perbezaan martabat tuntutan tersebut.

 

Prinsip Kelapan Belas:
Islam membebaskan 'aqal fikiran dan menggesa untuk memerhatikan alam semesta, menjunjung martabat ilmu dan 'alim 'ulama', serta mengalu-alukan perkara yang baik lagi bermanfa'at. Hikmah adalah barang yang hilang daripada orang mu'min, sesiapa yang menemuinya maka dialah yang paling berhak terhadapnya.

 

Prinsip Kesembilan Belas:
Adakalanya penelitian syara' tidak meliputi penelitian 'aqal dan demikian jualah sebaliknya. Namun keduanya tidak berselisih pada perkara qat'i (muktamad): Hakikat ilmiyyah yang sahih tidak bercanggah dengan kaedah syara' yang thabit. Dan setiap perkara dzanni dari keduanya ditakwilkan agar sejajar dengan perkara qat'i. Sekiranya keduanya adalah perkara dzanni maka pandangan syara'lah yang lebih utama untuk diikuti sehinggalah pandangan 'aqal itu thabit (kebenarannya) atau ia gugur dengan sendirinya.

 

Prinsip Kedua Puluh:
Kita tidak mengkafirkan seorang muslim yang mengucapkan dua kalimah syahadah dan ber'amal dengan segala tuntutan dan melaksanakan kefardhuannya - hanya berdasarkan kepada pendapat atau maksiat yang dilakukannya - melainkan;
- Mengakui kalimah kufur.
- Mengingkari perkara agama yang sedia diketahui secara dharuri.
- Mendustakan Al-Qur'an yang jelas maknanya.
- Menafsirkannya menurut gambaran yang tidak sealiran dengan teknik bahasa 'Arab pada semua keadaan.
- Atau ia melakukan suatu 'amalan yang tidak dapat ditafsirkan selain dari kufur.

0 comments:

Catat Ulasan