APA ITU USRAH???
Dari segi bahasa, perkataan usrah (bahasa Arab) bermaksud keluarga. Kamus Dewan Edisi Ketiga pula menyatakan, usrah ialah perkumpulan yang melibatkan kegiatan agama seperti perbincangan tentang sesuatu tajuk agama dan sebagainya.
Dari segi istilah, usrah ialah ikatan perpaduan yang dibina atas dasar iman dan Islam dengan berusaha tolong-menolong sesama sendiri untuk memahami dan menghayati Islam; berusaha mempertingkatkan ilmu dan amal, dan menghindari maksiat dan permusuhan berdasarkan firman Allah (maksudnya):
“Bertolong-tolonganlah kamu berbuat kebaikan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan berbuat dosa dan aniaya dan takutlah kepada Allah.” [Al-Maidah, 5:2]
TERDAPAT TIGA PERKARA PENTING DALAM USRAH IAITU:
>TA'ARUF(BERKENALAN)
>TAFAHUM(SALING MEMAHAMI)
>TAKAFUL(TOLONG MENOLONG)
>TAFAHUM(SALING MEMAHAMI)
>TAKAFUL(TOLONG MENOLONG)
SALAH TANGGAPAN TERHADAP USRAH
Konsep pemahaman awam yang SALAH tentang usrah :
- Usrah adalah kelompok kecil (halaqah) yang membincangkan hal-ehwal agama semata-mata (seperti definisi daripada Kamus Dewan di atas).
- Usrah berbentuk diskusi yang dilakukan di surau atau masjid sahaja.
- Usrah berbentuk satu hala, naqib menyampaikan dan ahli usrah mendengar sahaja.
Usrah yang sebenarnya adalah berdasarkan konsep ukhuwwah yang menuju keredhaan-Nya. Usrah tidak berbentuk rigid dan skema, serta bukan berdasarkan konsep halaqah atau liqa’ semata-mata. Usrah perlu dibezakan dengan kuliah, perbincangan atau majlis-majlis ilmu yang lain. Majlis-majlis ilmu boleh didapati dalam usrah, tetapi majlis ilmu tidak semestinya usrah.
Usrah mencakupi aspek yang luas, seperti definisi bahasanya yang bermaksud keluarga.
- Jika hubungan sesama ahli keluarga adalah rapat dan saling mengasihi, maka itulah ciri-ciri usrah.
- Jika sesama ahli keluarga boleh berkongsi pendapat dan masalah, maka itulah pengisian usrah.
- Jika masa yang ada sering diluangkan bersama dalam keluarga seperti makan bersama, bermain bersama, maka itulah amalan dalam usrah.
MENGAPA USRAH?
KEMBAR IMAN ITU UKHUWWAH
Tidak syak lagi, ukhuwwah itu amat penting dalam setiap penjuru kesinambungan hidup. Ibarat biri-biri yang bersendirian di tengah padang, mudah saja menjadi mangsa serigala. Namun, andaikan biri-biri sentiasa bergerak dalam kumpulan, serigala pun takut mendekati kerana yang banyak itu tentunya tampak lebih kuat.
Begitu juga perihalnya kita sebagai manusia. Bertindak secara jemaah itu sangat penting agar survival dakwah lebih kuat dan berjalan lancar.
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”
[Ash-Shaff, 61:4]
Dalam meneruskan kehidupan sehari-harian, kita tidak terlepas daripada godaan syaitan dan tuntutan nafsu yang mengajak menuju kemurkaan-Nya. Iman di dada acapkali turun naik dalam pertarungan antara yang hak dan batil. Di sinilah, ukhuwwah memainkan peranan mega kerana sahabat yang baik akan saling mengingatkan antara satu sama lain.
Firman Allah:
“Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.”
[Adz-Zariyat, 51:55]
Apabila ada yang hampir tergelincir daripada landasan haq, di situlah akan ada teman yang menyelamatkan. Apabila ada yang semakin lari daripada tuntutan Islam sebenar, di situlah akan ada teman yang mengejar memanggil pulang.
PEMBUDAYAAN ILMU YANG BERTERUSAN
Pengisian dalam liqa’ usrah adalah satu bentuk muzakarah ilmu yang memang sangat digalakkan oleh Islam. Ilmu itu sangat penting, dan sesungguhnya Allah meninggikan darjat orang-orang yang berilmu.
“Katakanlah: ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.”
[Az-Zumar ,39:9]
Dengan ilmu, seseorang itu dapat membezakan antara yang hak dan batil. Dengan ilmu jualah sesorang itu mampu menyebarkan risalah dakwah kepada orang lain.
Jika diselak sejarah lampau, antara faktor kekuatan empayar Islam suatu ketika dahulu adalah daripada sikap tamadun semasa yang sangat menghargai dan membudayakan ilmu pengetahuan. Nah, bukankah kita ingin mengembalikan zaman kegemilangan Islam?
Walaupun perkongsian ilmu dalam liqa’ bersifat lebih santai dan tidak termasuk dalam silibus pembelajaran, tetapi setiap butir kalimah yang dikongsi itu akan bercambah dengan baik jika bijak memanfaatkannya. Dan sesungguhnya, hanya Allah jua yang layak menilai sejauh mana usaha kita mencari ilmu pengetahuan ke arah menggarap hidayah daripada-Nya.
Kredit: shoutul badar
1 comments:
Good info....
Catat Ulasan