SECANGKIR QAHWAH

Bismillah al-Rahman al-Rahim

Assalamualaikum wrt. wbt.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana dengan rahmatNya saya dapat mempersembahkan kepada anda satu landasan ilmu yang dikenali sebagai "Bendera Hijau".


Antara objektif BH adalah untuk melahirkan modal insan yang mempunyai keilmuan yang tinggi dan nilai tambah yang menyumbangkan ke arah kemakmuran manusia di atas mayapada ini. Allah SWT telah menciptakan manusia dengan bakat dan kebolehan yang pelbagai supaya mereka boleh bertukar-tukar manfaat antara satu sama lain sebagaimana yang telah dinyatakanNya di dalam surah Ibrahim. Bakat penulisan adalah antara malakah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hambaNya. Terdapat dalam kalangan manusia yang mampu menghasilkan novel, karikatur dan artikel yang dapat mempengaruhi manusia ke arah ketaatan mutlak kepada Allah SWT.


Blog adalah salah satu medan untuk menggilap bakat seseorang dalam bidang penulisan dan pelaporan. Penulisan adalah satu aspek penting dalam dakwah Rasulullah SAW terutamanya dalam rangka menyeru pembesar-pembesar negara kafir kepada Islam yang suci. Idea dan ilmu yang digarap dengan bahasa dan persembahan yang menarik akan mempengaruhi pembaca seterusnya memberikan mereka keinsafan dan ilmu pengetahuan.


Dewasa ini bahan bacaan samada melalui media cetak atau pun secara maya telah membanjiri minda manusia. Secara tidak langsung telah mempengaruhi pola pemikiran dan tindak tanduk mereka. Justeru, satu wahana yang membantu mereka ke arah sikap yang positif adalah bahan-bahan yang bersifat islamik dan membangun sahsiah mulia.


Saya menyeru semua blogger agar menggunakan peluang untuk menyumbangkan karya penulisan dan daya kreativiti untuk dimuatkan dalam blog masing-masing dan dimanfaatkan bersama. Kepada semua blogger, berusahalah untuk mempersembahkan blog masing-masing sebagai sebuah blog yang matang, penuh kreativiti dan sarat dengan ilmu.


Sekian, wassalam.

* ILMU BERCAHAYA *

0 comments:

Catat Ulasan