JAWATAN: KELAYAKAN ATAU NAFSU??
Dalam sebuah organisasi terdapat mereka yang dipanggil pemimpin dan orang yang dipimpin. Pemimpin memainkan peranan yang cukup besar dalam sesebuah organisasi dan tanggungjawabnya adalah cukup berat dan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah tentang tugas dan peranannya sebagai seorang pemimpin.
Jangan sekali-kali meminta untuk menjadi pemimpin sekiranya kita merasakan diri kita kurang berkelayakan untuk memimpin kerana dikhuatiri kita tidak akan dapat menunaikan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu kita seandainya kita menjadi pemimpin.
Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim pernah bersabda : Maksudnya : “Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)” Shahih Al-Muslim: 1791
Dalam hadis ini Nabi melarang keras kita dari meminta jawatan sebagai pemimpin namun bagaimana pula soalnya dengan Kisah Nabi Yusuf yang meminta jawatan? Sebenarnya Nabi Yusuf meminta jawatan dalam keadaan dia layak sedangkan Samurah yang diceritakan dalam hadis ini tidak layak.
Sekiranya Kita Layak Hukum Minta Jawatan Ada 3 Hukum:
Wajib - jika kita tidak minta jawatan itu, menyebabkan berlakunya pengkhianatan, maka minta jawatan adalah wajib
Sunat - jika kita minta jawatan dalam keadaan orang lain pun layak juga, cumanya kita lebih layak dari yang lainnya maka hukum minta jawatan adalah sunat.
Harus - jika kita minta jawatan dalam keadaan kita dan orang lain sama dari sudut kelayakan maka minta jawatan itu adalah harus.
Hukum Mereka Yang Berkelayakan Menolak Untuk Memegang Jawatan Jika sekiranya ada orang lebih layak dan kita tolak jawatan tersebut maka itu adalah yang terbaik namun sekiranya semua tidak layak, hanya kita sahaja yang layak, lalu jika kita tolak juga maka hukum tolak itu menjadi haram.
Kesimpulannya sebelum kita tolak sesuatu jawatan pastikan ada orang yang lebih layak dari kita atau setidak-tidaknya sama layak. Sebelum membuat keputusan untuk merebut sesuatu jawatan hendaklah kita melakukan analisa terhadap diri sendiri terlebih dahulu adakah kita berkelayakan kerana dikhuatiri sebab kita mahukan jawatan hanyalah kerana untuk mencari populariti, publisiti dan menurut hawa nafsu semata-mata.
Fikirlah dengan akal yang sihat dan buatlah keputusan berdasarkan pertimbangan iman sebelum merebut sesuatu jawatan agar kita selamat dari merebut jawatan dalam keadaan kita tidak layak untuk memegangnya.
0 comments:
Catat Ulasan