Tapi Ayah, Adakah Manusia Tidak Masuk Neraka Jika Hari Hujan
Pada setiap
petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid,
Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk
mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah
agama.
Pada petang
Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk
mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah
sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.
Budak itu
memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”.
Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah
tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya
membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.
Dengan muka
yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak
masuk neraka jika hari hujan?”
Ayahnya
menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan nada
sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya
teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah
buku ini semua dan berhati-hati”.
Kemudian,
budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari
pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan
buku kepada setiap orang yang ditemuinya.
Setelah dua
jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika
itu dia telah basah kuyup dan berasa sejukhingga ke tulang. Budak itu berhenti
di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut.
Namun keadaan di situ lengang. Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama
yang dia lalu di lorong itu.
Dia berjalan
di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia
menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan
lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.
Akhirnya dia
berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang
menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat
pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti
sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis
loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.
Berdiri di
hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan
perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai
budak?”
Dengan
senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu
berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya
hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi
makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada
saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan
kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya”
Kemudian,
budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum
berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan
memberkatimu” .
Gambar Hiasan |
Selepas solat
Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa.
Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, ” Ada sesiapa yang ingin bertanya
soalan atau ingin berkata sesuatu?”
Dengan
perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang
perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul
ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat
yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung
untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu,
meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”
Pada petang
Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad
untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil
seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali
tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas
kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil
berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya
hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah
dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu
akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan
bertubi-tubi.
Kemudian orang
yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir
sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa
pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan
tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi
loceng kuat dan semakin kuat.
Bila saya buka
pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya
itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti
malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu
tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan
yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati
tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel.
“Makcik, saya
datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa
melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk ”
Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.
Bila “malaikat
kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca
dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian
saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak
perlukannya lagi.
Oleh sebab di
belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid
ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah
datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya
daripada keabadian di dalam neraka.
Ramai yang
berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan
TAKBIR.ALLAH HU AKBAR. gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada
budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil”
itu sedang duduk.
Dia mendakap
puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah
yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum
pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap
anaknya. Inilah satu peristiwa.
Berbahagialah
anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah
lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah,
dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir
dengan anda.
Sebarkanlah
kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua
perkara yang kita buat.
Maksud firman Allah dalam Surah
al-Maidah ayat 3;
“Pada hari ini, orang-orang kafir
telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka
melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan
gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada
hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan
nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu,
maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda benda yang
diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia
memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”
Salam Mujahadah.
0 comments:
Catat Ulasan