Salah seorang peserta dalam program mingguan di Akademi Sinergi bertanya: “apa yang perlu saya buat ketika menjadi fasilitator?” Saya jawab “CASIC”

CASIC ialah kajian ringkas dan pengajaran daripada Surah al-Fatihah.


Connect
Apabila masuk ke tempat program, seorang fasilitator boleh buat perkara berikut:
1.  Beri salam dengan niat untuk mendoakan peserta (S)
2.  Pastikan dengan skala ceria (E)
3.  Berhubung dengan memfokuskan perhatian kepada peserta (I)
4.  Gunakan bahasa badan yang fokus dengan bersama erat atau menghadap kepada individu berkenaan            dengan baik (P)

Malah sepanjang program, boleh terus berhubung dari semasa ke semasa. Topik yang perlu diutamakan ialah aspek fizikal, kemudian barulah masuk subjek intelektual, emosi dan spiritual. Turutan ini perlu diperhatikan agar peserta tidak merasakan ia terkejut atau diganggu ruang privasi-nya.

Acknowledge

Setiap kali Connect, ikuti dengan Acknowledge  atau mengiktiraf individu atau kumpulan tersebut.

Antara langkah point ini:

1.  Boleh memuji tindakan peserta yang bersemangat
2.  Senyum dan menyapanya
3.  Memuji pada tindakan peserta menjawab atau membantu rakan lain
4.  Memuji pada kesungguhan peserta mengikuti program
5.  Mengiktiraf beliau pasti ada harapan. Dengar atau tanya.

Apa-apa sahaja perkara yang boleh dihargai dan diiktiraf, nyatakan segera. Apabila ada kesilapan, diamkan kecuali ia melibatkan hak orang lain atau berkaitan dengan hak Tuhan.


Serve
Dengan Serve, kita akan tolong. Antara kaedahnya:
1.  Angkat barang atau beg
2.  Bantu kalau peserta lapar, sejuk atau tidak pasti sesuatu perkara
3.  Membantu dengan mendengar apa-apa perkongsian atau apa yang diujarkan. Ia menjadi terapi kepada         peserta.

Inquire
Sebagai seorang fasilitator, perlu sentiasa bertanya untuk membuka minda peserta selain daripada mengiktiraf ilmu serta pengalaman peserta.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan:
1.  Bertanya khabar
2.  Bertanya perasaan sepanjang program
3.  Bertanya apa-apa keperluan
4.  Bertanya apakah faham is kandungan
5.  Bertanya apakah yang boleh dimajukan pada program
6.  Bertanya apakah plan semasa dan selepas program
7.  Bertanya pengalaman dalam tajuk yang berkaitan dengan program
8.  Bertanya untuk mengetahui lebih lanjut diri peserta (ia menjadi satu aspek penghargaan kepada peserta)
Elemen CASI ini perlu dilaksanakan banyak-banyak. Makin banyak ia dilaksanakan secara berulang pada aspek berbeza, ia akan membina kepercayaan taau TRUST pada diri peserta kepada fasilitator.  Selepas itu, apabila diberi arahan atau pilihan, ia akan mudah diterima oleh peserta.

Choice
Memberi pilihan melambangkan kematangan fasilitator di samping ia menaikkan estim peserta untuk membuat keputusan. Choice ialah jawapan dalam bentuk soalan. Ia adalah kemahiran seorang coach. Seorang fasilitator yang melaksanakan kemahiran coaching pasti disukai oleh peserta.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan:
1.  Memberi pilihan bagaimana disiplin program dilaksanakan
2.  Memberi pilihan tentang mode program
3.  Memberi pilihan untuk melantik struktur organisasi sepanjang program
4.  Memberi pilihan untuk mengubah serba sedikit kandungan program
5.  Memberi pilihan untuk bagaimana melaksanakan isi latihan selepas tamat.

Seorang fasilitator yang hebat mempunyai kemahiran CASIC yang amat luas.

Al-Masjid al-Aqsa adalah merupakan masjid ketiga tersuci di dalam agama Islam. Ianya juga merupakan tempat di mana Allah memperjalankan nabi Muhammad SAW pada waktu malam semasa peristiwa Isra’ dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di al-Quds. Lokasinya terletak di kawasan yang diberkati dan suci. Keberkatan kawasan tersebut bukan sahaja dapat dinikmati daripada aspek spiritualnya sahaja, tetapi daripada aspek material pun dapat dirasai, seperti kesuburan tanah yang menghasilkan produk perladangan terbaik, cuaca yang nyaman dan seumpamanya. Ramai nabi menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal di dalam misi dakwah mereka. Masjid ini juga pernah menjadi qiblat pertama bagi umat Islam.
Suatu masa dahulu, umat Islam bebas untuk keluar masuk di dalam al-Aqsa. Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid ini. Apatah lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad untuk menziarahinya. Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith:
وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:   لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، والمسجد الأقصى، ومسجدي   متفق عليه، واللفظ للبخاري

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata: Janganlah bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah) - Muttafaqun alaihi dengan lafaz daripada Bukhari.
Sehinggalah penjajahan Zionist ke atas Palestin, al-Masjid al-Aqsa kini sunyi daripada pengunjung Muslim bukan Arab. Sekatan serta fatwa pengharaman menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai ulamak kerana perlu membayar wang yang banyak kepada penjajah Zionist, menyebabkan hanya sedikit daripada kita yang mengenali bangunan al-Aqsa yang sebenarnya.
Di dalam bersemangat mempertahankan al-Aqsa, ada antara umat Islam yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa. Antara maklumat yang kerap disebarkan melalui rantaian email dan tapak sesawang seperti ini, ialah menyatakan yang Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) adalah bukan al-Aqsa. Mereka mendakwa yang ianya adalah propaganda Zionist untuk mengalihkan fokus umat Islam daripada mempertahankan al-Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Ramai daripada kita yang percaya dengan maklumat ini.

Gambar yang kerap disebarkan untuk menunjukkan al-Aqsa yang sebenar

Dalam artikel ini, saya akan cuba berkongsi maklumat yang sebenar mengenai bangunan al-Masjid al-Aqsa seperti yang dikenali penduduk Palestin. Saya perlu memberikan kredit kepada pensyarah Universiti al-Najah, Dr Haithem F. al-Ratrout yang telah melakukan kajian perkembangan senibina al-Aqsa di dalam kajian PhD semasa menuntut di Al-Maktoum Institute. Saya telah mendapat keizinan beliau untuk menyebarkan maklumat kajiannya, kerana menurut beliau ini merupakan tanggungjawab Muslim bagi memperkenalkan bangunan al-Aqsa yang sebenarnya. Anda boleh membeli buku beliau daripada laman ini untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.

PEMBINA AL-AQSA YANG SEBENARNYA
Untuk mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui siapakah pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
حديث سليمان بن مهران الأعمش، عن إبراهيم بن يزيد التيمي، عن أبيه، عن أبي ذر قال: قلت: يا رسول الله أي مسجد وضع أول؟ قال: المسجد الحرام. قلت: ثم أي؟ قال: المسجد الأقصى. قلت: كم بينهما؟ قال: أربعون سنة
Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”….
Berdasarkan hadith di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama. Justeru, dalam usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari siapakah pembina al-Masjid al-Haram di Makkah.
Sebahagian kita berpandangan yang pembina al-Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِيمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَٰعِيلُ
Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).
Jumhur ulamak, walau bagaimanapun menyatakan yang ayat di atas hanyalah menunjukkan yang nabi Ibrahim membina kembali tapak al-Masjid al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain, nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.
Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid al-Haram yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam. Apabila nabi Adam diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah pertama di muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah merupakan asal bagi al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan hadith Abu Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.
Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.

KONSEP BINAAN MASJID DI DALAM ISLAM
Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:
1. Lokasi.
2. Sempadan.
3. Qiblah.
4. Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.
Gabungan lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud yang masjid itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad pun tidak mempunyai bangunan. Yang paling penting ialah, pembina masjid tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam bangunan.

LOKASI AL-AQSA
Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pekan Lama atau Old City of Jerusalem, Tebing Barat (West Bank). Semasa zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard al-Mubarakah dan al-Quds. Old City of Jerusalem dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama. Ianya agak padat. Dahulu Muslim Arab merupakan majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang Yahudi semakin ramai menguasai kawasan petempatan di dalam Old City of Jerusalem. Turut berada di dalam pagar Old City berkenaan, ialah Holy of Sepulchre, gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara pagar Old City.
Pandangan udara Old City of Jerusalem dan al-Aqsa

PLAN KA’BAH DI AL-MASJID AL-HARAM
Selain itu, kita juga perlu mengetahui bagaimanakah plan asal Ka’bah yang telah dibina oleh nabi Adam. Ini adalah kerana kita telah faham bahawa pembina kedua-dua bangunan ini kemungkinan besar adalah orang yang sama berdasarkan hadith Abu Dzar tadi. Ramai yang memahami Ka’bah sebagai bangunan berbentuk kiub yang dilitupi oleh kain kiswah hitam. Fakta ini kurang tepat, kerana sebenarnya kawasan Hijir Ismail adalah juga sebahagian Ka’bah berdasar pandangan ramai ulamak. Jika diteliti laporan daripada al-Azraqi (meninggal 222 H), beliau telah melakarkan plan Ka’bah seperti yang telah direnovasi oleh nabi Ibrahim seperti imej berikut:


BANGUNAN AL-AQSA YANG SEBENAR
Antara gambar terbaik untuk melihat pandangan udara al-Aqsa ialah seperti berikut:


Secara ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua monumen bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas. Hujjahnya ialah seperti berikut:
1. Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa. Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang nabi dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome of the Rock sekarang yang letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah tepat sekiranya Dome of the Rock dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.
2. Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan. Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan sempadannya.
3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah. Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh diperolehi daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD beliau.


4. Memang benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan qiblat/Ka’bah. Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan saidina Umar itu dikenali penduduk tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa. Adapun sekiranya menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan, pejabat dan kelas pengajian, Dome of the Rock, Dome of Ascension, Dome of Chain, tanah lapang, dan lain-lain.

Semua yang berada di dalam garisan kuning di atas adalah al-Masjid al-Aqsa

KESIMPULAN
1. Al-Aqsa ialah kawasan yang  meliputi semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti gambar di atas. Ini termasuklah Dome of the Rock, yang merupakan sebahagian daripada al-Masjid al-Aqsa.
2. Umat Islam perlu menghentikan penyebaran maklumat salah yang kononnya Dome of the Rock bukan sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran Zionist sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas tapak Dome of the Rock, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada mempertahankan Dome of the Rock, maka mudahlah orang Yahudi merampas al-Aqsa.
3. Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr Haithem, serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah, pembinaan Jami’ Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah pemerintah yang menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.

Kredit: abidfana.com
Do'a Rabithah


Do’a rabitah merupakan sebahagian dari risalah Al –Mathurat , iaitu wirid yang dibaca oleh aktivis dakwah pada pagi dan petang, baik sebagai rangkaian wazhifah kubra atau sughra. Biasanya dilakukan secara sendirian atau berjemaah.


Do’a rabitah ini istimewa berbanding dengan doa’-doa’ yang lain. Antaranya:-


PERTAMA: Do’a ini disusun untuk para aktivis dakwah, agar mereka selalu mengingat prinsip-prinsip perjuangan dengan membaca do’a ini.


KEDUA: Doa’ ini bertujuan mengkonsolidasikan dan menyatukan hati pada aktivis dakwah.

KETIGA: Dengan do’a rabithah ini kita memahami bahawa gerakan dakwah adalah jamaah, bukan jam’iyyah atau syirkah.

Jamaah adalah wadah yang mengumpulkan hati-hati dan fizikal anggota dalam waktu yang sama, bahkan pertemuan hati perlu lebih intensif dan tidak boleh terputus dibandingkan dengan pertemuan secara fizikal dalam pertemuan tanzim maupun yang lain.


Jami’yyah ertinya organisasi massa, yayasan, NGO, parti politik dan sebagainya. Pertemuan ini umumnya lebih mementingkan pertemuan secara fizikal yang bersifat struktur dan formal, yang kurang memerhatikan pertemuan hati dan batin. Oleh itu, biasannya boleh terjadi konflik dan pergeseran di sesama anggota organisasi itu. Sementara syirkah pula merujuk kepada usaha perniagaan atau bisnes.

KEEMPAT: Dengan do’a rabitah ini kita memahami bahawa dakwah telah menyatukan para aktivis dari pelbagai generasi semenjak ada kegiatan dakwah di muka bumi ini sehinggalah ke hari kiamat.


Ringkasnya:


Para da’I ilallah dituntut untuk menyatukan soff, beramal dan paling tidak saling mendo’akan agar istiqomah pada jalan Allah serta mendapat taufiq dan rahmat dari Allah SWT demi kejayaan Islam.

Rujukan:
Syarah do’a rabithah, karangan Muhammad Lili Nur Aulia

Kredit : DAKWAH & TARBIAH


Selepas zaman Rasulullah dan zaman para sahabat ilmu tauhid ini berkembang dengan pesat dan telah dibahaskan oleh beberapa tokoh ilmuan Islam dengan sedetailnya. Dari ini, timbullah beberapa aliran mazhab dalam ilmu tauhid seperti Qadariah, Jabariah, Murjiah, Muktazilah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Mazhab Qadariah

Qadariah adalah sebuah mazhab yang dilahirkan di Basrah berikutan timbulnya perbahasan hangat orang Islam mengenai dengan masalah qadha dan qadar Allah. Asal nama mazhab ini diambil dari perkataan Al-Qadar yang membawa maksud sifat qudrat.  Mereka berpendapat segala kerja baik dan buruk manusia itu terjadi dengan kehendak dan kuasa diri sendiri dan bukan kerana Allah, Segala baik dan buruk manusia itu telah ditetapkan oleh Allah. Pengasas mazhab ini bernama Ma’bad Ibnu Khalid Al-Juhani dan Ghailan Al-Dimasyqi. Diantara pendapat mereka ialah seperti :
  1. Mereka mengatakan manusia itu bebas untuk melakukan segalanya menurut apa yang dikehendaki oleh manusia itu sendiri.

  2. Mereka percaya bahawa Allah tidak menentukan apa-apa takdir kepada manusia.

Mazhab Jabariah

Jabariah muncul di Kufah pada zaman kerajaan Bani Umaiyyah, pengasas mazhab ini ialah Jaham Ibnu Safuan yang berasal dari Khurasan. Asal Jabariah ini diambil dari perkataan Al-Jabr atau Jabrun yang membawa maksud digagahi atau tergagah. Mereka berpendapat bahawa manusia dan makhluk itu bergantung kepada qada dan qadar Allah semata-mata atau sepenuhnya. Mereka juga mengatakan tidak ada sedikit pun bagi manusia ikhtiar dan tidak boleh memilih sama sekali. Segala perbuatan baik dan buruk manusia itu bukan atas dasar kehendak diri sendiri dan itu semua adalah dari kehendak Allah. Diantara pendapat mazhab ini ialah seperti :
  1. Manusia dikuasai sepenuhnya oleh Allah. 

  2. Manusia itu tidak mempunyai apa-apa usaha, pilihan atau ikhtiar dalam melakukan semua perbuatan. 

  3. Manusia diibaratkan seperti bulu dan kapas yang boleh ditiup angin ke mana sahaja. 

  4. Syurga dan neraka tidak kekal, kerana yang kekal hanya zat Allah sahaja. 

  5. Al-Quran itu adalah baru. 

  6. Allah hanya mempunyai zat dan tidak mempunyai sifat. 

  7. Allah tidak boleh dilihat pada hari akhirat nanti.


Mazhab Murjiah

Murjiah berasal dari bekas-bekas ahli politik, mereka mengambil sikap berkecuali di dalam masalah perselisihan umat Islam ketika itu mengenai perebutan jawatan khalifah diantara puak Khawarij dan Syiah. Asal perkataan murjiah ini diambil dari Arja’ yang membawa maksud menangguhkan. Mereka berpendapat iman itu adalah mengenal Allah dan rasulNya. Sesiapa yang mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan nabi Muhammad itu pesuruh Allah, maka sudah cukup dikira sebagai beriman.

Ada juga dikalangan mereka yang melampaui batas dengan mengatakan bahawa orang yang mengaku secara terang-terangan dan menyembah berhala secara terang-terangan dan mati dalam keadaan seperti ini dikira beriman, kerana iman itu adalah iktiqad di hati sahaja.



Mazhab Muktazilah

Muktazilah adalah satu mazhab akidah yang berpegang kuat kepada dasar kebebasan berfikir dan cuba melepaskan umat Islam dari belenggu taqlik buta. Muktazilah diambil dari perkataan I’tazala yang membawa maksud mengasingkan diri dari golongan pada masa itu. Manakala dari segi istilah ia bermaksud golongan yang lahir dalam Islam pada awal kurun kedua Hijrah. Pengasas mazhab ini bernama Wasil Ibnu Ata’ yang mengasingkan diri daripada gurunya Hasan Al-Basri. Ketika itu Wasil keluar dari halaqah gurunya kerana tidak bersetuju dengan pendapat yang diberikan oleh Hasan Al-Basri tentang hukum orang melakukan dosa besar. Beliau berpendapat orang yang melakukan dosa besar itu tidak mukmin dan tidak kafir, bahkan mereka berada di satu tempat di antara dua tempat, iaitu Al-Manzilah Baina Al-Manzilatain. Antara fahaman yang dibawa oleh mereka ialah :
  1. Allah tidak bersifat dengan mana-mana sifat bahkan segalanya dengan zat Allah sahaja. 

  2. Allah itu bersifat Adil dan mesti membalas baik kepada orang yang membuat baik demikian juga sebaliknya.

  3. Manusia bebas melakukan sesuatu menurut kehendak mereka.

  4. Allah wajib membuat sesuatu yang baik dan yang lebih baik.

  5. Al-Quran itu baru dan bukan qadim. 

  6. Allah tidak dapat dilihat oleh manusia baik di dunia atau pun di akhirat.


Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah

Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang mengikuti perjalanan sunnah Rasulullah dan orang ramai. Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah berbeza dan menentang semua mazhab yang telah lahir sebelumnya. Golongan ini diketuai oleh dua orang tokoh ilmu tauhid yang bernama Abu Hassan As-Syaari di Basrah dan Abu Mansor Maturidi di Samarkhandi. Ada lapan kelompok yang tergolong dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti :
  1. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang akidah dan kerasulan. Mereka juga mengikut ulamak mutakallimin Safatiyyah, iaitu golongan yang tidak mentasybihkan Allah, ulamak ini juga berpegang bahawa Allah mempunyai sifat-sifat tertentu dan sifat-sifat itu tidak menyerupai sifat-sifat makhluk. 

  2. Orang Islam yang menjadi tokoh dalam fikah dan mengikut jalan safatiyyah dari sudut akidah dan pegangan mereka. Mereka terdiri daripada pengasas empat mazhab, iaitu Imam Malik, Imam Hambali, Imam Hanafi dan Imam Syafie serta semua pengikut mereka.

  3. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang hadis seperti Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Nasai, Imam Tarmizi, Imam Abu Daud dan sebagainya.

  4. Orang Islam yang mempunyai ilmu dalam bidang adab, nahu dan saraf atau dikenali sebagai kumpulan ahli bahasa.

  5. Kumpulan orang Islamyang mempunyai ilmu dalam bidang bacaan qaraat Al-Quran dan tafsirnya, mereka ini juga dikenali sebagai ahli qiraat dan ahli tafsir.

  6. Orang Islam yang mempunyai ilmu tasawuf, mereka juga dikenali sebagai orang yang zahud atau sufi.

  7. Orang Islam yang berjihad atau berjuang untuk menentang musuh-musuh Islam dalam peperangan. 

  8. Orang Islam yang tinggal di negeri, tempat dan mengikti segala syiar yang terdapat dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mereka telah memperbetulkan segala fahaman yang salah berkaitan dengan ilmu tauhid yang diberikan oleh golongan terdahulu. Diantara pendapat mereka ialah :
  1. Allah telah menjadikan perbuatan manusia yang berbentuk usaha dan ikhtiar sendiri.  Manusia bebas menggunakan segalanya sama ada hendak membuat sesuatu atau tidak.  Manusia hendaklah mematuhi segala hukum yang telah diwajibkan ke atasnya. 

  2. Allah bersifat dengan sifat kesempurnaan yang lain baginya, seperti kuasa, berkemahuan, berpengetahuan dan sebagainya. Sifat Allah berada pada zat Allah sejak azali lagi dengan sifat kuasa itulah Dia mengada atau mentiadakan segala yang mumkin. Manakala kemahuan Allah pula menentukan sesuatu perkara yang mumkin. 

  3. Al-Quran adalah kalam Allah yang qadim dan azali (bukan baru) kerana segala isi dan maksud Al-Quran itu ialah kalam Allah yang qadim. 

  4. Orang mukmin dapat melihat Allah di akhirat nanti. 

  5. Orang mukmin yang melakukan dosa besar itu boleh gugur imannya dan mereka masih dianggap mukmin. Jenazah mereka boleh disembahyangkan dan mereka dimasukkan di dalam neraka dahulu sehingga bersih dari segala dosa yang telah dilakukan, kemudian mereka dimasukkan ke dalam syurga.

Kredit: Ustaz Nor Aiman


Seorang wanita datang bermusafir ke Madinah. Sedang merebus sesuatu dan anak-anaknya sedang menangis. Umar Al-Khattab yang waktu itu beliau adalah khalifah, datang bertanya kepada wanita itu.

“Kau buat apa?,” tanya Umar.

“Aku sedang merebus batu. Aku tidak ada makanan.  Anak-anak aku lapar. Allah.. Semoga Allah mengambil tindakan pada Umar!”jawab wanita itu.

Wanita itu tidak tahu yang bertanya dan berhadapan dengan beliau ini adalah Umar Al-Khattab.

“Apa salah Umar?,” tanya Umar Al-Khattab. Mana mungkin beliau dapat mengetahui semua apa yang terjadi pada rakyatnya dalam keadaan rakyatnya yang ramai.


“Adakah dia memerintah kami, kemudian dia cuai tentang kami?!,” jawap wanita itu.

Mendengar kalimah itu, Umar Al-Khattab tersentak dan takut. Beliau memanggil khadamnya, Aslam agar mengikuti dibelakang. Beliau mengambil guni yang berisi gandum dan memikulnya.

Melihat itu, khadamnya mengatakan “Ya Amirul Mukminin...jangan...jangan buat macam ini. Biar aku saja yang memikulnya.”

“Kau nak tanggung dosa aku diakhirat nanti?!,” tanya Umar dengan tegas. Dan Amirul Mukminin ummah ini, memikul gandum, membancuh, menguli, membakar dan menyajikan kepada wanita tadi dan anak-anaknya.

Khadam Umar Al-Khattab pernah mengatakan,” Aku masih ingat ketika Amirul Mukminin memasak makanan, sewaktu meniup api, abu terbang terkena putih janggutnya.”

Selepas wanita dan anak-anaknya makan, wanita itu berkata kepada ‘lelaki’ yang memikul gandum, membancuh, menguli dan memasak makanan untuk dia dan anak-anak ini dengan mengatakan “Engkau lebih layak menjadi khalifah berbanding Umar.”

Umar menjawap “janganlah bercakap melainkan benda yang baik-baik.”

Selepas selesai tugasnya itu, Umar Al-Khattab pergi, menyendiri dan menangis sepanjang malam.

-------------------

Cerita tentang Umar Al-Khattab tidak pernah tidak mengagumkan saya.


Kredit: Tentang Umar Al-Khattab

Diceritakan bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"

"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."

"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.

"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.

Saidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati anak kecil itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya, dia punya kedudukan yang tinggi di sisi ALLAH. Jelas ada DIA di hatinya.



Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan berita kematian kepada ayah Hasan al-Banna dengan dua pilihan: Pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan, jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu.

Ayah Hasan al Banna menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar menyingsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya di Hilmiah al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang lengkap bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Jenazah Almarhum dibawa masuk ke rumahnya secara tidak ada orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaannya.

Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Hasan al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandikan dan mengapankan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis terus menjawab, biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya.

Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca al-Quran. Ayah Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa apa lagi. Beliau dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah pergi ke masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya meninggalkan masjid. Sheikh Abdur Rahman seorang diri menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan jenazah Almarhum.

Pada waktu itu usia Hassan Al-Banna baru mencecah 43 tahun. Anak bongsunya telah dilahirkan pada hari yang sama isteri Hassan Al-Banna menamakannya “Esteshhaad” yang bermaksud syahid.

Pembunuhan Hassan al-Banna adalah satu perancangan pihak istana dengan arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya Ibrahim Abdul Hadi. Sebab itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah dan orang yang terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah beberapa kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa pernerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa pernerintahan Perdana Menteri Husin Sari. Ketiga, pada zaman pernerintahan Perdana Menteri Mustafa al Nahhas Basya.

Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah tercetus. Raja Farouk terpaksa turun dari singgahsananya. Berikutan itu, kes ini dibuka semula. Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan kerja berat.

Pemandu kereta, Sarjan Major Muhammad Mahfuz Muhammad dikenakan hukuman penjara 15 tahun dengan kerja berat. Major Muhammad al Jazzar dikenakan hukuman satu tahun penjara dengan kerja berat.

Sejak pembunuhan terhadap Hassan al Banna, ramai pendukung Ikhwan Muslimin yang telah ditindas dan dizalimi. Namun tindakan tindakan tersebut menyebabkan pertubuhan itu bukan sahaja semakin bertambah kuat di Mesir, malah telah mengembangkan sayapnya di negara-negara Arab. Kebangkitan Islam yang berlaku di negara Arab pada hari ini sebenarnya secara tidak langsung bertitik tolak dari Gerakan Ikhwan Muslimin,

Tegasnya, Hasan al-Banna merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya yang syumul. Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang pejuang dan harakah Islamiah pada hari ini.

Kredit: Nukilan MHS

Aku Mahu... Mahu apa?
Mahu dikasihi Allah.
Kasihilah dirimu dan kasihilah orang lain.
Aku mahu jadi segagah-gagah manusia.
Sentiasalah menyerah diri kepada Allah. Aku Mahu...
Mahu apa lagi?
Aku mahu jadi manusia paling baik.
Jadilah manusia yang baik dan berguna kepada masyarakat.
Tapi apakah sebesar-besar kebaikan di sisi Allah?
Elok budi pekerti, rendah diri dan sabar dengan ujian-Nya.
Apakah pula sebesar-besar kejahatan?
Buruk akhlak dan sedikit ketaatan.
Itulah pelbagai runtunan hati kita yang meronta-ronta mencari kepuasan. Sebagai makhluk yang dibekalkan nafsu, hati dan akal, manusia akan sentiasa berkeinginan. Sama ada ingin jadi baik atau sebaliknya. Mahu kumpul pahala atau dapat seksa. Namun, Allah yang bersifat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Raheem, sentiasa membuka peluang kepada manusia untuk membuat pilihan. Segala-galanya terpulang pada kita untuk memilih berlandaskan syariat yang ditetapkan.
Manusia yang dibekalkan dengan agama sebagai pegangan dan panduan hidup, semestinya akan lebih mampu mempertahankan apa yang berharga dalam hidupnya. Keindahan dan kesempurnaan ajaran Islam sebagai cara hidup adalah suatu yang mutlak. Tetapi tingkah laku dan tindakan Muslim itu sendiri sering kali mencemari keindahan Islam dan mencacatkan kesempurnaannya.
Memiliki gelaran sebagai seorang Muslim bukan sekadar catatan pengenalan semata-mata. Tetapi kesempurnaan beragama akan tergambar dengan peribadi Muslim yang benar-benar mengikut apa yang diajarkan. Sebagai umat yang terbaik, seorang Muslim semestinya memiliki peribadi yang berteraskan garis panduan al-Quran dan sunnah. Namun, ia bukanlah hanya bergantung pada ibadah khusus semata-mata, kerana sebagai makhluk bernyawa yang pasti akan menemui mati, sudah tentu akan ditanya ke mana dihabiskan usia kita selama hidup di dunia ini?
Setiap manusia sudah pasti akan menelusuri perjalanan hidup yang ditetapkan untuknya. Namun, sepanjang tempoh itu apakah dia benar-benar menjadi seorang Muslim dalam erti kata yang sebenar dan memperoleh keberuntungan.
Lima Profil Manusia Beruntung



1.Akidah yang sejahtera
Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT semestinya manusia memerlukan suatu dasar dan peraturan hidup yang akan membentuk disiplin, kemantapan iman serta ketaqwaan seseorang bagi memandunya menuju keredhaan Allah SWT.
Berpaksikan fakta ini, tentunya akidah Islamiyah sahaja yang memiliki kemampuan demikian dan membuatkan manusia mempunyai ikatan yang kuat dengan Allah SWT. Islam sebagai ad-Din atau cara hidup memiliki peraturan dan pegangan yang mampu membangunkan sistem kehidupan manusia kepada suatu ketamadunan yang tinggi.
Sejarah membuktikan, dengan keunggulan ajaran dan aqidah Islam telah membentuk tamadun yang hebat suatu ketika dahulu. Hal ini kerana, potensi semula jadi manusia jika dimantapkan dengan bekalan ilmu yang dimiliki, mampu dikembangkan dengan baik sekiranya berteraskan akidah kepada Allah SWT. Sebaliknya, krisis nilai akan berlaku apabila pemikiran dan pegangan manusia dibangunkan dengan keruntuhan akhlak dan tidak berpaksikan kepada peraturan serta disiplin berteraskan akidah Islam.
Keruntuhan tamadun akan berlaku apabila manusia tidak berpegang sepenuhnya kepada Islam sebagai ad-Din. Akidah, syariat dan akhlak adalah saling berkait antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Jika diumpamakan seperti sebatang pokok, akidah sebagai akar umbi, syariat merupakan dahannya dan akhlak adalah sebagai buahnya.
Natijah daripada memiliki akidah yang sejahtera akhirnya akan berjaya membentuk manusia yang benar-benar hidup sebagai seorang Muslim sejati.
2.Bermanfaat untuk orang lain
“Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya daripada kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang miskin serta orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (an-Nur:22)
Nukilan melalui maksud firman Allah ini amat bertepatan dengan fenomena sosial semasa yang menuntut setiap individu Muslim untuk berfikir lebih jauh terutamanya yang melibatkan generasi muda. Setiap Muslim perlu sentiasa meletakkan diri untuk memberi perkhidmatan yang dapat dimanfaatkan oleh agama, bangsa dan negara. Pemikiran sebegini amat penting supaya terbina individu yang berkualiti, keluarga yang bahagia seterusnya terbentuk masyarakat yang sedar dan peka dalam segenap aspek kehidupan.
Memberi manfaat bererti kebaikan menjalar kepada orang lain melalui pelbagai cara yang berlandaskan syariat. Sekiranya setiap Muslim menggunakan segala kemampuan yang dipinjamkan oleh Allah untuknya, sudah pasti mereka akan menjadi umpama pokok yang rimbun dan berbuah lebat.
Tidak dinafikan, pengislahan itu bukan senang dan nilainya bukan calang-calang. Dengan hambatan-hambatan yang ada dalam proses pembinaan insan, ia mampu melemahkan kekuatan diri untuk terus memanfaatkan diri sendiri kepada ummah. Namun, jika semua Muslim berpegang dan berperanan dalam segenap ruang lingkup kehidupan, nescaya negara yang disebut sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT), tidak mustahil dapat dikecapi. Hakikatnya, sebaik-baik manusia adalah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia yang lain.
Maka, beruntunglah diri mereka yang sentiasa bermanfaat.
3.Ibadah yang benar
Tuntaskan ibadah yang merupakan kewajipan kita sebagai hamba-Nya di muka bumi ini kerana ia adalah ‘tiket’ untuk kita ke syurga. Ibadah yang benar-benar terbaik adalah ibadah yang dilakukan semata-mata bagi mendapat keredhaan Allah SWT dengan berbekalkan pemahaman serta penghayatan yang tinggi.
Allah telah menukilkan dalam surah al-Dzariyat ayat 56 melalui firman-Nya yang bermaksud, “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”Ayat ini jelas mengingatkan kita, ibadah itu merupakan tanggungjawab manusia kepada Allah SWT sebagai Pencipta manusia dan sekalian alam. Ia perlu dihayati dan difahami secara benar dan tidak menyimpang kepada unsur-unsur yang menyesatkan.
Melalui ibadah, akan melahirkan hati-hati yang patuh dan tunduk serta kecintaan yang tinggi kepada Allah SWT. Ini kerana skop ibadah amat luas. Semua perkara yang diizinkan oleh Allah itu adalah ibadah. Ia merangkumi segenap aspek kehidupan yang mana akhirnya akan mewujudkan insan yang menjalani kehidupan untuk memperoleh keredhaan Allah SWT semata-mata.
4.Bijak menjaga masa
Kita dikurniakan matahari dan bulan yang sama. Mengharungi jumlah pusingan jam dan hari yang sama. Tetapi mengapa ada orang yang dapat melakukan suatu pekerjaan yang hebat dan ada pula yang sentiasa mengeluh tidak punya cukup waktu untuk menyelesaikan urusannya. Hakikatnya, tiada manusia yang punya cukup masa melainkan mereka yang bijak mengurus masa. Masa bukanlah emas atau pedang, tetapi masa adalah kehidupan. Allah telah mengingatkan kita dalam nukilan firman-Nya yang bermaksud, “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (al-Asr:1-3)
Firman Allah ini jelas membuktikan kebijaksanaan dalam mengurus masa mampu memberi kesan yang terbaik dalam kehidupan manusia. Tidak ada gantinya bagi masa yang telah berlalu kerana masa yang akan datang adalah masa yang berlainan. Sesungguhnya kita telah menzalimi diri sendiri apabila membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa dimanfaatkan. Dalam sehari, mari kita hitung bagaimana 24 jam itu dibahagikan? · Bilakah masa beribadah kepada Allah? · Bilakah masa bersama keluarga? · Bilakah masa bekerja? · Bilakah masa bersama masyarakat? · Bilakah masa belajar? · Bilakah masa makan? · Bilakah masa berehat?
Akhirnya, apakah jawapan yang kita peroleh? Alangkah ruginya jika sepanjang 24 jam itu hanya dihabiskan untuk berehat dan bersenang-lenang semata-mata. Adakah berbaloi rehat yang kita ambil tanpa melakukan sebarang kemanfaatan? Oksigen yang Allah berikan secara percuma tanpa perlu bayar walau satu sen pun ini, bukanlah untuk disedut begitu sahaja. Allah pinjamkan bekalan oksigen supaya kita dapat hidup dengan sejahtera dan melangsaikan segala amanah yang telah kita janjikan dengan sebaiknya.
Hakikatnya, musuh yang paling utama dalam pengurusan masa adalah tabiat suka bertangguh. Sebagaimana kata Ibnu Umar, “Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi, dan apabila berada pada waktu pagi janganlah engkau menunggu petang. Gunakanlah dari sihat engkau bagi sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau.”
5.Akhlak yang mantap
Akhlak atau tingkah laku, perangai, tabiat, dan adat kebiasaan merupakan sifat, perbuatan atau tindakan yang dizahirkan dengan mudah tanpa perlu dipaksa. Ia bertapak utuh di dalam diri dan menjadi cerminan manusia dalam menilai baik buruk suatu perbuatan atau amalan.
Sedarkah kita, akhlak akan mempengaruhi penentuan kedudukan timbangan amalan seseorang di akhirat kelak? Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amalan seorang hamba pada hari kiamat berbanding akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar.” (Riwayat At-Tirmidzi)
Akhlak melambangkan imej seorang Muslim yang sebenar dan seterusnya dapat memperkasakan keindahan Islam. Menurut Imam al-Ghazali, akhlak yang mulia itu merangkumi empat perkara iaitu, bijaksana, memelihara diri dari sesuatu yang tidak baik, keberanian(menundukkan kekuatan hawa nafsu) dan bersifat adil. Ia jelas merangkumi segala sifat baik dalam kehidupan kita umpamanya hidup bersilaturrahim, mempertahankan agama dengan berani, berbakti kepada keluarga dan negara, senantiasa bersyukur, sabar, redha dengan ujian, jujur, bercakap benar, dan sebagainya.
Secara tuntasnya, marilah kita sama-sama bermuhasabah, harta yang paling menguntungkan adalah SABAR. Maka, berapa banyakkah sabar yang kita miliki? Teman yang paling akrab adalah AMAL. Maka, akrabkah kita dengan amal? Pengawal peribadi yang paling waspada adalah DIAM. Maka, sejauh manakah peribadi kita dikawal? Bahasa yang paling manis adalah SENYUM. Maka, maniskah bahasa kita? Ibadah yang paling indah tentunya KHUSYUK. Maka, setinggi mana keindahan ibadah kita? Adakah kita selama ini menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang benar-benar beruntung?
*Artikel ini telah diterbitkan dalam Majalah Dian, isu 1. .Tarikh : Mac 26, 2012 - 4:05pm Editor : mdyusof
Hits : 1657
Kredit: mStar Online, Rabu Disember 5, 2012