CASIC - Kalau saya jadi fasilitator?

Salah seorang peserta dalam program mingguan di Akademi Sinergi bertanya: “apa yang perlu saya buat ketika menjadi fasilitator?” Saya jawab “CASIC”

CASIC ialah kajian ringkas dan pengajaran daripada Surah al-Fatihah.


Connect
Apabila masuk ke tempat program, seorang fasilitator boleh buat perkara berikut:
1.  Beri salam dengan niat untuk mendoakan peserta (S)
2.  Pastikan dengan skala ceria (E)
3.  Berhubung dengan memfokuskan perhatian kepada peserta (I)
4.  Gunakan bahasa badan yang fokus dengan bersama erat atau menghadap kepada individu berkenaan            dengan baik (P)

Malah sepanjang program, boleh terus berhubung dari semasa ke semasa. Topik yang perlu diutamakan ialah aspek fizikal, kemudian barulah masuk subjek intelektual, emosi dan spiritual. Turutan ini perlu diperhatikan agar peserta tidak merasakan ia terkejut atau diganggu ruang privasi-nya.

Acknowledge

Setiap kali Connect, ikuti dengan Acknowledge  atau mengiktiraf individu atau kumpulan tersebut.

Antara langkah point ini:

1.  Boleh memuji tindakan peserta yang bersemangat
2.  Senyum dan menyapanya
3.  Memuji pada tindakan peserta menjawab atau membantu rakan lain
4.  Memuji pada kesungguhan peserta mengikuti program
5.  Mengiktiraf beliau pasti ada harapan. Dengar atau tanya.

Apa-apa sahaja perkara yang boleh dihargai dan diiktiraf, nyatakan segera. Apabila ada kesilapan, diamkan kecuali ia melibatkan hak orang lain atau berkaitan dengan hak Tuhan.


Serve
Dengan Serve, kita akan tolong. Antara kaedahnya:
1.  Angkat barang atau beg
2.  Bantu kalau peserta lapar, sejuk atau tidak pasti sesuatu perkara
3.  Membantu dengan mendengar apa-apa perkongsian atau apa yang diujarkan. Ia menjadi terapi kepada         peserta.

Inquire
Sebagai seorang fasilitator, perlu sentiasa bertanya untuk membuka minda peserta selain daripada mengiktiraf ilmu serta pengalaman peserta.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan:
1.  Bertanya khabar
2.  Bertanya perasaan sepanjang program
3.  Bertanya apa-apa keperluan
4.  Bertanya apakah faham is kandungan
5.  Bertanya apakah yang boleh dimajukan pada program
6.  Bertanya apakah plan semasa dan selepas program
7.  Bertanya pengalaman dalam tajuk yang berkaitan dengan program
8.  Bertanya untuk mengetahui lebih lanjut diri peserta (ia menjadi satu aspek penghargaan kepada peserta)
Elemen CASI ini perlu dilaksanakan banyak-banyak. Makin banyak ia dilaksanakan secara berulang pada aspek berbeza, ia akan membina kepercayaan taau TRUST pada diri peserta kepada fasilitator.  Selepas itu, apabila diberi arahan atau pilihan, ia akan mudah diterima oleh peserta.

Choice
Memberi pilihan melambangkan kematangan fasilitator di samping ia menaikkan estim peserta untuk membuat keputusan. Choice ialah jawapan dalam bentuk soalan. Ia adalah kemahiran seorang coach. Seorang fasilitator yang melaksanakan kemahiran coaching pasti disukai oleh peserta.

Antara perkara yang boleh dilaksanakan:
1.  Memberi pilihan bagaimana disiplin program dilaksanakan
2.  Memberi pilihan tentang mode program
3.  Memberi pilihan untuk melantik struktur organisasi sepanjang program
4.  Memberi pilihan untuk mengubah serba sedikit kandungan program
5.  Memberi pilihan untuk bagaimana melaksanakan isi latihan selepas tamat.

Seorang fasilitator yang hebat mempunyai kemahiran CASIC yang amat luas.

0 comments:

Catat Ulasan

Bangunan al-Masjid al-Aqsa Yang Sebenarnya

Al-Masjid al-Aqsa adalah merupakan masjid ketiga tersuci di dalam agama Islam. Ianya juga merupakan tempat di mana Allah memperjalankan nabi Muhammad SAW pada waktu malam semasa peristiwa Isra’ dari al-Masjid al-Haram di Makkah ke al-Masjid al-Aqsa di al-Quds. Lokasinya terletak di kawasan yang diberkati dan suci. Keberkatan kawasan tersebut bukan sahaja dapat dinikmati daripada aspek spiritualnya sahaja, tetapi daripada aspek material pun dapat dirasai, seperti kesuburan tanah yang menghasilkan produk perladangan terbaik, cuaca yang nyaman dan seumpamanya. Ramai nabi menjadikan bumi ini sebagai tempat tinggal di dalam misi dakwah mereka. Masjid ini juga pernah menjadi qiblat pertama bagi umat Islam.
Suatu masa dahulu, umat Islam bebas untuk keluar masuk di dalam al-Aqsa. Ramai yang memulakan pergerakan menunaikan haji dari masjid ini. Apatah lagi terdapat galakan langsung daripada nabi Muhammad untuk menziarahinya. Bersabda nabi Muhammad SAW di dalam sepotong hadith:
وعن أبي سعيد الخدري رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:   لا تشد الرحال إلا إلى ثلاثة مساجد: المسجد الحرام، والمسجد الأقصى، ومسجدي   متفق عليه، واللفظ للبخاري

Daripada Abi Sa’id al-Khudri R.A. Rasulullah SAW dilaporkan berkata: Janganlah bersungguh-sungguh/bersusah-payah pergi berjalan melainkan ke tiga masjid, al-Masjid al-Haram (Makkah), al-Masjid al-Aqsa (Al-Quds) dan Masjidku (Masjid Nabi di Madinah) - Muttafaqun alaihi dengan lafaz daripada Bukhari.
Sehinggalah penjajahan Zionist ke atas Palestin, al-Masjid al-Aqsa kini sunyi daripada pengunjung Muslim bukan Arab. Sekatan serta fatwa pengharaman menziarahinya oleh Mufti Palestin yang turut disokong ramai ulamak kerana perlu membayar wang yang banyak kepada penjajah Zionist, menyebabkan hanya sedikit daripada kita yang mengenali bangunan al-Aqsa yang sebenarnya.
Di dalam bersemangat mempertahankan al-Aqsa, ada antara umat Islam yang cuba untuk memperkenalkan bangunan al-Aqsa. Antara maklumat yang kerap disebarkan melalui rantaian email dan tapak sesawang seperti ini, ialah menyatakan yang Qubbah al-Sakhrah (Dome of the Rock) adalah bukan al-Aqsa. Mereka mendakwa yang ianya adalah propaganda Zionist untuk mengalihkan fokus umat Islam daripada mempertahankan al-Masjid al-Aqsa yang sebenarnya. Ramai daripada kita yang percaya dengan maklumat ini.

Gambar yang kerap disebarkan untuk menunjukkan al-Aqsa yang sebenar

Dalam artikel ini, saya akan cuba berkongsi maklumat yang sebenar mengenai bangunan al-Masjid al-Aqsa seperti yang dikenali penduduk Palestin. Saya perlu memberikan kredit kepada pensyarah Universiti al-Najah, Dr Haithem F. al-Ratrout yang telah melakukan kajian perkembangan senibina al-Aqsa di dalam kajian PhD semasa menuntut di Al-Maktoum Institute. Saya telah mendapat keizinan beliau untuk menyebarkan maklumat kajiannya, kerana menurut beliau ini merupakan tanggungjawab Muslim bagi memperkenalkan bangunan al-Aqsa yang sebenarnya. Anda boleh membeli buku beliau daripada laman ini untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci.

PEMBINA AL-AQSA YANG SEBENARNYA
Untuk mengetahui al-Aqsa, kita terlebih dahulu perlu mengetahui siapakah pembinanya. Menurut ulamak, tidak ada satu nas yang amat sahih menyatakan secara jelas siapakah pembina al-Aqsa. Cuma terdapat sepotong hadith sahih menceritakan secara umum pembinaan al-Aqsa, seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim:
حديث سليمان بن مهران الأعمش، عن إبراهيم بن يزيد التيمي، عن أبيه، عن أبي ذر قال: قلت: يا رسول الله أي مسجد وضع أول؟ قال: المسجد الحرام. قلت: ثم أي؟ قال: المسجد الأقصى. قلت: كم بينهما؟ قال: أربعون سنة
Hadith Sulaiman bin Mahran al-A’mash, daripada Ibrahim bin Yazid al-Tamimi, daripada bapanya Abu Zarr beliau berkata, aku bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah, masjid yang manakah dibina terlebih dahulu (dalam sejarah)?” Nabi menjawab, “al-Masjid al-Haram.” Aku bertanya lagi, “Selepas itu?” Jawab nabi, “al-Masjid al-Aqsa.” Aku bertanya lagi, “Berapa jarak pembinaan antara keduanya?” Nabi menjawab, “40 tahun.”….
Berdasarkan hadith di atas, oleh kerana jarak pembinaan antara al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Aqsa adalah dekat, iaitu 40 tahun, ditambah lagi dengan umur umat terdahulu yang amat panjang, maka ramai ulamak berpandangan pembina kedua-dua masjid ini adalah orang yang sama. Justeru, dalam usaha mencari siapakah pembina al-Aqsa, adalah perlu untuk kita mencari siapakah pembina al-Masjid al-Haram di Makkah.
Sebahagian kita berpandangan yang pembina al-Masjid al-Haram ialah Nabi Ibrahim. Ini berdasarkan kepada ayat al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 127:
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَٰهِيمُ ٱلْقَوَاعِدَ مِنَ ٱلْبَيْتِ وَإِسْمَٰعِيلُ
Dan ketika Nabi Ibrahim dan Ismail mengangkat kembali tapak asas tapak rumah ibadah itu (Al-Masjid al-Haram).
Jumhur ulamak, walau bagaimanapun menyatakan yang ayat di atas hanyalah menunjukkan yang nabi Ibrahim membina kembali tapak al-Masjid al-Haram yang telah dibina oleh nabi sebelumnya. Dengan erti kata lain, nabi Ibrahim bukanlah orang pertama yang membina al-Haram. Sekiranya nabi Ibrahim bukan orang pertama membina al-Haram, maka baginda juga bukanlah orang pertama membina al-Aqsa.
Ketika mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Tabari telah merekodkan beberapa riwayat mengenai pembina al-Masjid al-Haram yang sebenarnya. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Ato’ bin Abi Rabah dan Abdullah bin Amru yang menyatakan bahawa pembina Ka’bah yang pertama sebenarnya ialah nabi Adam. Apabila nabi Adam diturunkan dari langit, baginda telah membina rumah ibadah pertama di muka bumi dengan arahan Allah SWT. Baginda tawaf di keliling Ka’bah tersebut, berdasarkan sempadannya yang telah ditetapkan. Ka’bah itulah merupakan asal bagi al-Masjid al-Haram. Kemudian berdasarkan hadith Abu Dzar tadi, baginda telah membina al-Aqsa 40 tahun selepasnya. Adapun nabi Ibrahim, baginda hanyalah membangunkan kembali asas binaan tersebut yang telah roboh berikutan banjir besar serta faktor cuaca yang lain.
Justeru, ramai ulamak yang menyatakan nabi Adam adalah pembina al-Aqsa kerana baginda juga membina Ka’bah.

KONSEP BINAAN MASJID DI DALAM ISLAM
Untuk mengetahui bangunan al-Aqsa, kita juga perlu untuk mengetahui konsep binaan masjid di dalam fiqh Islam. Secara ringkasnya, yang dinamakan masjid itu perlulah mempunyai empat elemen:
1. Lokasi.
2. Sempadan.
3. Qiblah.
4. Aktiviti, termasuklah ritual ibadah dan juga segala aspek kehidupan yang membawa kesejahteraan akhirat.
Gabungan lokasi dan sempadan, menurut ulamak, tidak membawa maksud yang masjid itu perlu berada di dalam satu bangunan. Masjid di zaman nabi Muhammad pun tidak mempunyai bangunan. Yang paling penting ialah, pembina masjid tersebut perlu menentukan lokasi dan sempadannya. Adalah menjadi satu kesilapan sekiranya kita memahami yang masjid itu perlu dibuat di dalam bangunan.

LOKASI AL-AQSA
Dalam peta politik moden, al-Aqsa terletak di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Pekan Lama atau Old City of Jerusalem, Tebing Barat (West Bank). Semasa zaman nabi, banyak istilah yang digunakan untuk merujuk kawasan ini, seperti Eiliya’, Sham, al-Ard al-Muqaddasah, al-Ard al-Mubarakah dan al-Quds. Old City of Jerusalem dikelilingi oleh pagar. Di dalamnya terletak kawasan petempatan lama. Ianya agak padat. Dahulu Muslim Arab merupakan majoriti, akan tetapi selepas penjajahan, orang Yahudi semakin ramai menguasai kawasan petempatan di dalam Old City of Jerusalem. Turut berada di dalam pagar Old City berkenaan, ialah Holy of Sepulchre, gereja utama agama Kristian. Al-Masjid al-Aqsa terletak di tenggara pagar Old City.
Pandangan udara Old City of Jerusalem dan al-Aqsa

PLAN KA’BAH DI AL-MASJID AL-HARAM
Selain itu, kita juga perlu mengetahui bagaimanakah plan asal Ka’bah yang telah dibina oleh nabi Adam. Ini adalah kerana kita telah faham bahawa pembina kedua-dua bangunan ini kemungkinan besar adalah orang yang sama berdasarkan hadith Abu Dzar tadi. Ramai yang memahami Ka’bah sebagai bangunan berbentuk kiub yang dilitupi oleh kain kiswah hitam. Fakta ini kurang tepat, kerana sebenarnya kawasan Hijir Ismail adalah juga sebahagian Ka’bah berdasar pandangan ramai ulamak. Jika diteliti laporan daripada al-Azraqi (meninggal 222 H), beliau telah melakarkan plan Ka’bah seperti yang telah direnovasi oleh nabi Ibrahim seperti imej berikut:


BANGUNAN AL-AQSA YANG SEBENAR
Antara gambar terbaik untuk melihat pandangan udara al-Aqsa ialah seperti berikut:


Secara ringkas, al-Masjid al-Aqsa yang sebenar ialah meliputi semua monumen bangunan dan tanah lapang di sekitar pagar empat segi di atas. Hujjahnya ialah seperti berikut:
1. Nabi Muhammad diisra’ ke al-Aqsa. Kemudian dimikrajkan dari al-Aqsa juga. Semua bersetuju yang nabi dinaikkan ke langit daripada lokasi Dome of the Rock sekarang yang letaknya di bukit paling tinggi di dalam pagar di atas. Justeru tidaklah tepat sekiranya Dome of the Rock dikatakan bukan sebagai al-Aqsa.
2. Masjid tidak semestinya berada di dalam satu bangunan. Ianya boleh jadi di atas tanah lapang, atau dalam bangunan, atau gabungan tanah lapang dan bangunan, selagi mana ditentukan lokasi dan sempadannya.
3. Al-Aqsa mempunyai hubungan dan persamaan dengan Ka’bah. Tidak mustahil, kerana pembinanya adalah orang yang sama. Bahkan jika dibesarkan plan Ka’bah, kita akan dapati yang plannya adalah sama dengan pagar sempadan al-Aqsa. Dengan erti kata lain, sudut bukaan setiap hujung empat seginya adalah sama. Penjelasan lanjut boleh diperolehi daripada buku Dr Haithem yang sebenarnya merupakan thesis PhD beliau.


4. Memang benar Saidina Umar seakan marah dan tidak bersetuju dengan cadangan Ka’ab al-Ahbar mengenai lokasi di mana perlunya dibina bangunan masjid di dalam al-Aqsa. Ka’ab mencadangkan di lokasi Dome of the Rock sekarang. Umar tidak bersetuju kerana lokasi itu adalah lokasi paling suci dalam agama Yahudi, dan keduanya bangunan utama yang menempatkan Imam sembahyang, perlulah berada di tempat paling hampir dengan qiblat/Ka’bah. Maka dibinalah bangunan masjid kecil di selatan sempadan pagar al-Aqsa yang betul-betul dibina oleh nabi Adam menghadap ke arah Ka’bah. Masjid asal yang dicadangkan saidina Umar itu dikenali penduduk tempatan sebagai Jami’ Qibli atau Jami’ al-Aqsa. Adapun sekiranya menyebut al-Masjid al-Aqsa, maka ianya merujuk kepada semua yang berada di dalam pagar sempadan al-Aqsa tadi, termasuklah Jami’ Qibli, Masjid Buraq, pelbagai masjid kecil di dalamnya, beberapa bilik perpustakaan, pejabat dan kelas pengajian, Dome of the Rock, Dome of Ascension, Dome of Chain, tanah lapang, dan lain-lain.

Semua yang berada di dalam garisan kuning di atas adalah al-Masjid al-Aqsa

KESIMPULAN
1. Al-Aqsa ialah kawasan yang  meliputi semua monumen, bangunan dan tanah lapang di dalam pagar al-Aqsa seperti gambar di atas. Ini termasuklah Dome of the Rock, yang merupakan sebahagian daripada al-Masjid al-Aqsa.
2. Umat Islam perlu menghentikan penyebaran maklumat salah yang kononnya Dome of the Rock bukan sebahagian daripada al-Aqsa. Sasaran Zionist sekarang ialah membina Haikal Sulaiman di atas tapak Dome of the Rock, yang dianggap sebagai The Holiest of Holy oleh orang Yahudi. Sekiranya kita membiarkan fokus kita daripada mempertahankan Dome of the Rock, maka mudahlah orang Yahudi merampas al-Aqsa.
3. Saya amat mencadangkan rakan-rakan pembaca untuk membeli buku Dr Haithem, serta membaca kajian lanjut mengenai pembinaan Ka’bah, pembinaan Jami’ Qibli, Dome of the Rock dan kubah-kubah lain, sejarah pemerintah yang menguasai dan memakmurkan al-Aqsa dan lain-lain.

Kredit: abidfana.com

0 comments:

Catat Ulasan

KELEBIHAN DO'A RABITHAH

Do'a Rabithah


Do’a rabitah merupakan sebahagian dari risalah Al –Mathurat , iaitu wirid yang dibaca oleh aktivis dakwah pada pagi dan petang, baik sebagai rangkaian wazhifah kubra atau sughra. Biasanya dilakukan secara sendirian atau berjemaah.


Do’a rabitah ini istimewa berbanding dengan doa’-doa’ yang lain. Antaranya:-


PERTAMA: Do’a ini disusun untuk para aktivis dakwah, agar mereka selalu mengingat prinsip-prinsip perjuangan dengan membaca do’a ini.


KEDUA: Doa’ ini bertujuan mengkonsolidasikan dan menyatukan hati pada aktivis dakwah.

KETIGA: Dengan do’a rabithah ini kita memahami bahawa gerakan dakwah adalah jamaah, bukan jam’iyyah atau syirkah.

Jamaah adalah wadah yang mengumpulkan hati-hati dan fizikal anggota dalam waktu yang sama, bahkan pertemuan hati perlu lebih intensif dan tidak boleh terputus dibandingkan dengan pertemuan secara fizikal dalam pertemuan tanzim maupun yang lain.


Jami’yyah ertinya organisasi massa, yayasan, NGO, parti politik dan sebagainya. Pertemuan ini umumnya lebih mementingkan pertemuan secara fizikal yang bersifat struktur dan formal, yang kurang memerhatikan pertemuan hati dan batin. Oleh itu, biasannya boleh terjadi konflik dan pergeseran di sesama anggota organisasi itu. Sementara syirkah pula merujuk kepada usaha perniagaan atau bisnes.

KEEMPAT: Dengan do’a rabitah ini kita memahami bahawa dakwah telah menyatukan para aktivis dari pelbagai generasi semenjak ada kegiatan dakwah di muka bumi ini sehinggalah ke hari kiamat.


Ringkasnya:


Para da’I ilallah dituntut untuk menyatukan soff, beramal dan paling tidak saling mendo’akan agar istiqomah pada jalan Allah serta mendapat taufiq dan rahmat dari Allah SWT demi kejayaan Islam.

Rujukan:
Syarah do’a rabithah, karangan Muhammad Lili Nur Aulia

Kredit : DAKWAH & TARBIAH

1 comments:

Catat Ulasan