7 GOLONGAN YANG MENDAPAT NAUNGAN ALLAH DIAKHIRAT KELAK.


“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naunganNya pada hari Qiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naugan Allah iaitu: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk berzina dengannya lalu ia menolak dengan berkata “aku takut kepada Allah”, orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya dan orang yang menyebut dan mengingati Allah dengan keadaan tidak ada didalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.”
(hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Terdapat tujuh golongan yang bakal mendapat naungan di hari akhirat kelak sesuai dengan hadis di atas.

1. Pemerintah yang adil. Ini kerana tanggungjawab dipikul pemerintah dalam melaksanakan keadilan adalah perkara yang amat berat dan bukanlah mudah bagi seseorang pemimpin untuk melaksanakan keadilan terhadap semua rakyatnya. Sekiranya keadilan ini berjaya ditunaikan, ganjarannya adalah amat besar. Namun sekiranya gagal, dia menjadi pemerintah yang zalim dan azab menanti di akhirat kelak.

2. Pemuda yang hidupnya sentiasa mengerjakan ibadah kerana Allah. Ini kerana sebaik-baik masa dan semahal-mahal harganya di dalam hidup seseorang manusia adalah ketika alam remaja kerana pada usia muda seseorang berbagai ujian dan godaan terpaksa ditempuhi. Maka beruntunglah pemuda yang berjaya melepasi rintangan itu.

3. Orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid. Sesungguhnya terdapat hadis yang menyatakan bahawa dua hayunan kaki yang melangkah ke masjid ganjarannya amat besar di sisi Allah dan dikategorikan sebagai suatu sedekah.

4. Dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredhaan Allah. Hubungan yang terjalin di atas dasar yang bercanggah dengan syariat sehingga melanggar batas agama , adab kesopanan dan sebagainya adalah hubungan yang menjurus ke arah dosa dan maksiat. Seharusnya ikatan kasih sayang yang dijalinkan sesama manusia mestilah ikhlas kerana Allah agar perhubungan itu mendapat pahala, restu dan keberkatan daripadaNya.

5. Orang yang dipujuk berzina oleh perempuan yang kaya lagi rupawan lalu dia menolak dengan berkata “aku takut kepada Allah!”. Ini menunjukkan keimanan dan ketaqwaan yang sebenar berjaya menangkis segala bentuk godaan yang datang. Hal ini bukanlah mudah kerana tanpa kekuatan iman seseorang itu pasti akan terpengaruh dengan bisikan nafsu dan akhirnya terjebak dalam perbuatan zina.

6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya. Ini menggambarkan mengenai keikhlasan hati orang yang bersedekah. Sesungguhnya tidak ramai orang yang dapat menyembunyikan kebaikan dilakukannya melainkan akan terdapat perasaan riak dan ingin menunjuk-nunjuk supaya mendapat pujian atau sanjungan orang ramai.

7. Orang yang menyebut atau mengingati Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingaatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. Inilah sifat muslim sejati yang mempunyai perasaan cintakan Allah dengan sepenuh hatinya. Dia sentiasa memikirkan dan menghayati kejadian dan keagungan ciptaan Allah serta sifatNya yang Maha Agung. Oleh yang demikian hati, fikiran dan jiwanya
terhindar daripada perkara-perkara yang melalaikan.

Wallahua’lam. Petikan dari buku Malam Pertama di Syurga karya Adil Akhyar, SH, LL.M

0 comments:

Catat Ulasan